Buat Sang Mempelai
Inai tersapu pada jari, jantung berdegup tidak keruan, persiapan entah siap sepenuhnya atau tidak. Apa keadaaan si dia? Adakah turut berdebar seperti si dia yang di sini. Menanti lafaz akad yang bakal membuatkan para syaitan menangis tiada henti dan membuatkan seluruh makhluk bumi bersyukur di atas penyatuan dua hati yang dibina berdasarkan cinta suci anugerah Illahi.
Fitrahnya insani memerlukan satu jiwa untuk melengkapi hati dan sanubari bagi mengharungi onak duri yang lagi mencabar di hadapan nanti. Siapa tahu cabaran apa yang menanti, entahkan mampu ditangani sendiri atau perlukan seorang teman di sisi, bagi menjadi penguat dan pendokong untuknya menghadapi lautan dugaan yang digeruni.
Terciptanya makhluk di muka bumi ini dipasang-pasangkan agar berlaku kecantikan yang mendalam di dalam penciptaan Allah yang Maha Agung. Siapa kata tiada hikmah kita dipasangkan? Siapa kata tiada hikmah antara pasangan bulan dan matahari? Tidak nampakkah kita? Apabila matahari tidak mampu lagi datang menyinari alam ini, maka, hadir bulan datang untuk menggantikan matahari sebagai
penerang dan penyuluh di malam hari. Maka,siapa yang mahu menolak kehebatan pasangan yang Allah ciptakan ini. Mereka saling melengkapi kelemahan dan saling memahami peranan yang perlu dimainkan.
Tidak ada manusia yang terlalu egois yang menyatakan bahawa dia mampu hidup seorang diri, bahkan di kemudian hari, dia merintih mengharapkan seseorang mendengar luahan hati yang sunyi walau sekuat mana pun dia akui kekuatan yang ada pada diri. Sah! Allah turunkan perintah agar Rasulullah SAW melakukan sunnah perkahwinan kerana Allah tahu keperluan kita sebagai hambaNYA. Maka, siapa kita untuk menolak sunnah Rasulullah ini?
Separuh ibadat terlaksana apabila terlerainya ikatan antara dua jiwa, maka,bebaslah kedua-duanya. Apakah bebas pada erti kata berdua? Ya! Memang mereka sudah bebas, bebas dari fitnah yang menggoda, bebas dari syaitan yang menggoda, bebas dari hawa nafsu yang menggila.
Ada kegembiraan bagi mereka yang sudah halal berdua dan ada kesedihan bagi mereka yang belum terjumpa. Tidak mengapa, kesedihan, kegembiraan semua datang daripada DIA. Bagi yang mahukan kebaikan, berusahalah bersungguh-sungguh ke arah kebaikan itu. Namun, jangan pula salahkan takdir mengapa si dia lambat hadir. Mungkin sahaja si dia sedang mengasah ukiran peribadi agar lebih berseri dengan iman dan takwa teguh di hati bagi menyunting hati yang bukan calang-calang, tapi, hati yang juga terpaut pada Illahi.
Itu janji Rabbi. Ajal, maut, jodoh pertemuan sudah tertulis di Luh Mahfuz. Cuma Allah mahu melihat sejauh mana usaha hambaNYA yang mahukan insan yang terbaik bagi dirinya melalui usaha ke atas dirinya menjadi yang terbaik di pandangan Allah.
Tahniah buat kedua mempelai Natasha Anis Rusli dan Ahmad Faiz Muhammad Sabri di atas perkahwinan yang dibina. Buat Natasha, jadilah bidadari penyeri buat sang suami yang telah memilihmu sebagai suri. Hidupkan rumah tanggamu dengan kebahagiaan dan keserian cinta kepada Illahi. Hiasi penat lelahmu menjalani kehidupan sebagai isteri yang diredhai suami dan Illahi. Buat Faiz, jadikan isterimu sebagai bidadari penyeri syurgawi agar dia tidak tangisi jika cintanya tidak terabadi
kusam tanpa dihargai. Hargai diri kalian sesama sendiri. Moga kalian berdua kuat menghadapi kehidupan yang lebih mencabar dan tanggungjawab yang lebih berat dan nescaya ganjaran yang diperoleh lebih hebat berbanding kami yang masih membujang ini.
Siti Noor Redzuani binti Shafii
Tahun 4,Universiti Kaherah
p/s-post ini sepatutnye dipulish mgu lepas, memandangkan moderator ermasalah, so bru post...