Sunday, January 23, 2011

Synergy

Posted by azim On Sunday, January 23, 2011 2 comments



Buku itu, menyingkap kisah sejarah hidup seorang pemimpin agung, Muhammad bin Abdullah bersama pengikut-pengikutnya . Kisah yang tak pernah jemu dibaca. Riwayat hidup yang sarat dengan pengalaman berharga. Tersimpan formula-formula kejayaan hidup. Buktinya, Madinah al-Munawwarah terbentuk! Di sebalik tabir daulah Islam pertama ini, di sana seorang pemimpin tidak berdiri bersendirian, tetapi di belakangnya ada penyokong yang turut membantu. Satu kisah yang perlu dihayati sedalam-dalamnya kerana ia kisah realiti percubaan seorang manusia( tajribah basyariah). Selayaknya, baginda dicontohi dan dirujuki dalam setiap aspek kehidupan.


Sejenak, kita renungi kisah perang Uhud.
Nabi s.a.w telah bermimpi bahawa baginda telah memasukkan kedua tangannya ke dalam baju besi, mata pedang sumbing dan seekor lembu jantan disembelih. Baginda mentakbirkan mimpinya; baju besi sebagai madinah, pedang yang sumbing sebagai seorang ahli keluarganya dibunuh dan lembu jantan sebagai beberapa orang sahabatnya terbunuh.


Ini adalah mimpi seorang nabi. Mimpinya bukan mainan syaitan. Ia adalah petunjuk dari Allah. Hairannya, pemimpin ini telah mengadakan satu perjumpaan pula. Perjumpaan yang meminta pandangan –pandangan penduduk madinah sedangkan ketika itu petunjuk Allah telah jelas.

Dalam mesyuarat itu,Rasulullah mencadangkan untuk berperang di dalam madinah. Sekumpulan para sahabat Rasulullah yang tidak menyertai peperangan badar pula beria-ia untuk berperang di luar Madinah. Akhirnya, kata sepakat dicapai. Majlis syura ini berakhir dengan keputusan untuk berperang di luar madinah.

Inilah sikap toleransi dan rendah diri seorang pemimpin agung yang patut dijadikan rujukan. Keputusan syura diutamakan berbanding pendapat baginda sendiri.

************************************************************************************
Imbasan kisah perang badar yang berlaku pada bulan Ramadhan.
Rasulullah dan tenteranya mendahului kaum musyrikin ke perigi Badar. Baginda mengambil tempat di kawasan paling hampir dengan perairan badar.
Tatkala itu, Khabab bin Al-Munzir mengajukan soalan kepada baginda “ Apakah kawasan yang kita bertempat sekarang ini suatu yang telah ditunjukkan Allah sehingga tidak membenarkan kita untuk maju atau ke belakang selangkah pun? Atau apakah ia sebagai pemilihan strategi dan taktik peperangan?”
Jawab Rasulullah s.aw: Bahkan ia adalah strategi dan taktik perang semata-mata.
Khabab lalu memberi cadangan, "Kalau demikian ya Rasulullah ,ianya bukanlah tempat yang sesuai sehingga hampir ke perairan kaum musyrikin. Kita timbuskan perigi-perigi di sekitarnya dan kita bina pula satu takungan lain yang diisi penuh dengan air. Kemudian semasa peperangan, tentera musyrikin yang kehausan akan minum dari takungan itu , maka kita bunuh mereka.”


Rasulullah dengan gembiranya bersetuju dengan Khabab dan melakukan seperti apa yang dicadangkan oleh Khabab.
Ya. Khabab mencadangkan suatu cadangan yang amat bernas. Mana mungkin menolaknya, tatkala ia memberi manfaat besar kepada tentera Islam. Tapi, cuba lihat pada sikapnya, dia berbincang dengan Rasulullah terlebih dahulu sebelum melaksanakan apa jua rancangan.

*************************************************************************************

Undur sejenak sebelum itu untuk sama-sama kita hayati satu babak penting daripada kisah perang Badar juga.


Seperti yang sedia maklum, perang Badar terjadi secara kebetulan. Niat awal adalah untuk menuntut kembali hak orang Islam dengan menghalang Kabilah Abu Suffian; membawa hasil jualan harta mereka yang ditinggalkan semasa mereka berhijrah ke Madinah. Namun, sesuatu di luar jangkaan berlaku. Rasulullah dan 313 orang bersamanya bukan berhadapan dengan kafilah Abu Sufian, sebaliknya 1000 orang tentera musyrikin.
Maka, mesyuarat diadakan.

Asyiru a’laiya ya aiyuhannas! ( Berilah pandangan kamu sekalian)
Lantas Abu Bakar bangun: imdhi ya Rasulullah( teruskan ya Rasululah). Seterusnya Umar Al-Khattab dan Miqdad bin Amru pula menyatakan pendapat masing-masing, menyokong Rasulullah untuk teruskan peperangan itu.

Namun, Rasulullah masih menyebut: Asyiru a’laiya ya aiyuhannas!
Persoalannya, mengapa soalan ini terus ditanya? Sedangkan 3 orang yang bangun menyokong baginda bukan calang-calang orang; antara tokoh Muhajirin. Sokongan mereka bertiga sahaja sepatutnya sudah mencukupi mewakili semua yang ada.
Saad bin Muaz seraya bangun dan berkata: Demi Allah, seakan engkau maksudkan kami ya Rasulullah. Baginda menjawab: Bahkan.

Benar. Rasulullah memang menantikan pendapat pemimpin dari Kaum Ansar pula. Kekuatan tempur bergantung pada mereka memandangkan mereka adalah majoriti sedangkan dalam masa yang sama mereka hanya dituntut untuk mempertahankan Rasulullah di dalam Madinah sahaja. Begitu syarat yang terkandung di dalam perjanjian Aqabah Kubra. Sensitiviti yang tinggi dalam diri baginda boleh dilihat menerusi ketelitian baginda dalam menghargai kaum Ansar.

Saad terus dengan ucapannya: Sebenarnya kami telah pun beriman dengan dikau Ya Rasulullah, kami membenarkan dikau, kami bersaksi apa yang dikau bawa itu adalah benar, telah kami beri janji-janji dan kepercayaan kami untuk mendengar dan mentaati, ayuh teruskan wahai rasulullah untuk mencapai sesuatu yang dikau kehendaki. Demi Tuhan yang mengutuskan engkau dengan kebenaran, seandainya engkau membawa kami mengharungi lautan nescaya kami harungi, tak seorangpun terkecuali,dan kami bersenang hati dikau membawa kami bertemu musuh pada esok hari, kami merupakan orang yang bersabar di dalam perang, penuh kepercayaan untuk bertarung dan berhadapan dengan musuh, Semoga Allah memperlihatkan sesuatu yang menyenangkan mata melihat, ayuh bawalah kami ke hadapan dengan penuh keberkatan dari Allah.”

Kata-kata hebat ini bukan hanya ditutur di mulut, tetapi dibuktikan. Lahir dari mulut seorang mulia yang bergegar arasy Allah ketika mana rohnya diangkat ke langit. Saad dan kaumnya maju bersama Rasulullah sekalipun bukanlah tanggungjawab mereka untuk mempertahankan Rasulullah di luar Madinah. Mereka tidak pula berlepas tangan, malah meletakkan diri mereka sendiri dalam keadaan risiko. Begitu sekali sensitiviti yang ada dalam diri kaum Ansar. Kebersamaan mereka dengan pemimpin dalam apa jua keadaan menjadi bukti kukuh nilai sensitiviti ini.

Begitulah kisah hebat Rasulullah dan sahabat-sahabat. Musyawarah yang dipraktikkan sesama mereka adalah antara faktor kekuatan dan kejayaan mereka. Sebagaimana Rasulullah dengan jayanya menjalankan tanggungjawab baginda sebagai pemimpin, begitu juga sahabat-sahabatnya tidak berkurang sedikitpun. Saling melengkapi antara satu sama lain.

Kita bagaimana pula? Ayuh! Duhai sahabat renungi diri dari jendela iman.Sebagai pemimpin, adakah kita telah mengikuti tindak-tanduk Rasulullah ? Manakala sebagai orang yang dipimpin, adakah kita telah mencontohi sikap para sahabat?


Bukankah sebaiknya kita mencontohi mereka?

لقد كان لكم فى رسول الله اسوة حسنة لمن كان يرجوا الله واليوم الأخر وذكر الله كثيرا

Sungguh pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu,(iaitu) bagi yang mengharapkan(rahmat) Allah dan (kedatangan)hari Kiamat dan yang banyak mengingati Allah. ( Al-Ahzab:21)

LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH
AMIRA NAJIHAH ARMAIN & HASLINA MOHAMAD











2 comments:

Subhanallah.....kepimpinan berpengaruh dan berkesan Saidina Rasulullah SAW dan teladan sahabat...

cuma kan...
ada satu soalan mungkin...

Dalam satu keluarga..ada ibu, ayah, anak-anak 10 orang..si ibu ingin membuat karipap..tapi ingin ditanyakan keluarganya akan inti yang perlu dibuat..inti sambal ikan atau daging…bertanya ibu pada si ayah..ayahnya inginkan sambal ikan..bertanyakan pula anak-anaknya…pelbagai ragam…

“ibu, saya suka pisang..letak isi pisang la..”
“a’a la ibu..saya pun suka pisang..letak isi pisang la..”
“eh, tak boleh…saya suka kacang tanah…ibu, letak la kacang tanah..”

Akhirnya si ibu pun bilang…
“macam nie la…kita buat undian neh..siapa nak inti pisang…..?”
“siapa nak inti sambal ikan…sape nak inti kacang tanah…”?

Majoriti anaknya inginkan inti pisang…jadi apa memang karipap itu mesti berintikan pisang ke..?

Siapakah KEAHLIAN syura…?

Syura adalah satu medium perkongsian pendapat. Setiap individu berhak menyatakan pendapat masing-masing dengan hujah mereka.Keputusan syura adalah hasil perbincangan apa yang terbaik untuk semua. Tidak semestinya majoriti adalah yang terbaik.

Berbalik kepada cerita karipap,setiap ahli dalam keluarga itu merupakan ahli syura.Ayah,ibu dan 10 orang anak.Majoriti anak inginkan inti pisang,pening ibu memikirkan.Mengapa tidak ibu bertanya sebab musabab inti pisang menjadi pilihan anak. Dan tidak salah pula untuk ibu dan ayah menyatakan apa rasionalnya karipap yang berintikan sambal ikan atau daging.Maka,karipap yang akan dibuat oleh si ibu sama ada berintikan sambal daging atau sambal ikan atau inti pisang atau kacang tanah berdasarkan syura;apa yang terbaik buat keluarga itu.

Bila dah tahu, karipap mana yang sesuai, anak-anak jangan lupa membantu.

Sebut pasal karipap ni,perut pun mula berkeroncong...

Ini hanya pendapat peribadi yang mungkin ada cacat celanya.Ahlan kepada siapa-siapa yang mempunyai pendapat lebih baik.

We're family

Post a Comment